mutakhir

'Doakan anak saya selamat'

Oleh Rosli Ilham

“KALAU melihat keadaan ombak semalam, saya percaya bot anak saya karam.

“Namun saya berdoa ada keajaiban dan dia selamat,” kata Abdul Rahim Endut, 54, berhubung nasib yang menimpa anaknya, Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22.

Mohamad Hafiz yang bekerja dengan sebuah resort di Pulau Tenggol bersama dua rakannya, Fauzi Mohamad, 40, dan Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 22, dikhuatiri hilang di kawasan perairan pulau itu 12 tengah hari semalam.

Abdul Rahim yang bekerja sebagai nelayan berkata, dia menerima berita kehilangan anaknya itu 4.30 petang semalam ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan.

“Saya menumpang rakan menangkap ikan di Kemaman dan ketika dalam perjalanan ke Jeti Kuala Kemaman saya menerima berita sedih itu sebelum bergegas pulang ke Dungun.

“Saya akui kejadian yang menimpa anak dan dua rakannya itu kerana keadaan ombak ganas semalam.

“Malah bot saya juga teruk dibadai ombak kuat dengan angin kencang ketika dalam perjalanan ke Jeti Kuala Kemaman,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang hari ini.

Menurutnya, anak keempat daripada sembilan beradik itu sudah lebih dua bulan tidak pulang ke rumah termasuk Aidilfitri lalu kerana sibuk dengan kerja disebabkan ramai pelancong.

“Ahad lalu saya teringat kepadanya kerana sudah dua bulan tidak bertemu dan saya beritahu isteri nak jumpa anak dan kebetulan semalam anak bercuti.

“Sepatutnya anak balik ke rumah semalam tapi kami difahamkan kawannya minta dia teman untuk hantar barang terlebih dulu sebelum balik.

“Saya tak sangka hasrat bertemunya terhalang selepas menerima laporan bot yang dinaiki anak dikhuatiri hilang atau karam di laut,” katanya.

Menurutnya, biarpun hatinya berat mengatakan anaknya itu lemas, namun dia berharap anaknya ditemui selamat.

“Saya sangat merinduinya dan berharap dia ditemui segera.

“Namun jika dia ditakdirkan meninggal dunia, saya reda tapi berharap sangat jasadnya ditemui kerana saya ingin melihat mukanya untuk kali terakhir walaupun hanya seminit,” katanya.

Berita berkaitan

Jangan sebar maklumat palsu boh!

'Firasat saya, mereka masih hidup'

Pencarian sehingga 10 batu nautika

Tiga lelaki tak sampai-sampai...

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 6:16pm
d